Jakarta, aktual.com – Pada Nisfu Sya’ban, terdapat sebuah peristiwa bersejarah yang begitu bermakna terhadap umat Islam. Pada siangnya, Allah Swt telah menukar kiblat umat Islam dari Bait al-Maqdis ke Bait al-Haram sebagai menyahut dan memperkenankan permintaan dan keinginan Rasulullah Saw.
Pada saat itu, kebanyakan orang Yahudi mencaci Rasulullah kerana Baginda solat menghadap ke Bait al-Maqdis sebagaimana yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim . Lalu Baginda mengangkat mukanya ke langit memohon kepada Allah Swt agar menukarkan Kiblat ke arah yang dikehendakinya untuk menghentikan ejekan orang-orang Yahudi terhadapnya.
Maka ketika Baginda mengerjakan solat Zuhur di dalam masjid Bani Salamah dalam keadaan menghadap ke Masjid al Aqsa di Syam, turun wahyu daripada Allah dalam firman-Nya yang berbunyi:
فَوَلِّ وَجْهَكَ شَطْرَ ٱلْمَسْجِدِ ٱلْحَرَامِ ۚ وَحَيْثُ مَا كُنتُمْ فَوَلُّوا۟ وُجُوهَكُمْ شَطْرَهُۥ ۗ
“Palingkanlah mukamu ke arah Masjidil Haram. Dan dimana saja kamu berada, palingkanlah mukamu ke arahnya,” (Qs Al-Baqarah: 143).
Ketika itu, Baginda telah melaksanakan solat dua raka’at dalam keadaan menghadap ke Bait al-Maqdis. Setelah diturunkan wahyu, Baginda menyambung solatnya pada dua raka’at yang terakhir dengan menghadap ke arah Masjid al Haram. Oleh kerana itulah, masjid tersebut dinamakan Masjid al Qiblatain (masjid dua Kiblat). Masjid inilah yang sering diziarahi oleh umat Islam yang pergi menziarahi Madinah untuk melihat kesan-kesan sejarah dan kebesaran Islam.
Sebagian ulama’ menyatakan bahwa Rasulullah Saw juga menunaikan solat Asar di masjid tersebut dalam keadaan menghadap ke Ka’bah untuk memperkuatkan lagi hukum tersebut dan menetapkannya bagi seluruh kaum Muslimin.
Waallahu a’lam
Artikel ini ditulis oleh:
Rizky Zulkarnain