Muhammad Faisal Abdul Aziz
Muhammad Faisal Abdul Aziz

Kuala Lumpur, aktual.com  – Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menganggap desas-desus gabungan baharu bagi membentuk kerajaan Persekutuan melalui pintu belakang sebagai pengkhianatan kepada aspirasi rakyat.

Presidennya, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, usia kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang baharu yang belum lagi mencapai usia dua tahun selepas pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) telah disabotaj oleh pihak berkepentingan yang jelas menolak perubahan kepada sistem yang lebih telus dan baik.

“Apa yang berlaku pasti akan menjadi sejarah hitam kepada sejarah politik negara, apabila hasrat rakyat yang mahukan perubahan telah disia-siakan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Lebih menyedihkan, rakyat mengharapkan tidak timbul sebarang langkah politicking selepas berakhirnya Mesyuarat Majlis Presiden PH pada Jumaat lalu.

“Namun tanpa sebarang sebab yang kukuh, langkah politicking seperti yang dipamerkan oleh para politikus Malaysia semalam adalah suatu yang jelas tidak bermoral dan melanggar konsensus nasional,” katanya dalam satu kenyataan.

Semalam, satu mesyuarat berlangsung serentak melibatkan parti politik lain termasuk UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas dan Ahli Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS) menguatkan lagi spekulasi penubuhan Pakatan Nasional.

Menurut Muhammad Faisal, jika perancangan pintu belakang ini berlaku, pastinya akan berlaku konflik berterusan yang menyebabkan sosio politik negara terus terumbang-ambing dan tidak stabil dan seterusnya menjauhkan lagi para pelabur daripada kerajaan yang tidak dipercayai.

“ABIM menggesa bahawa adalah lebih baik Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menangguhkan sebarang usaha gerakan pintu-belakang sehingga 9 Mac iaitu apabila sidang Parlimen bermula.

“Serahkan kepada Parlimen untuk menentukan sekiranya berlaku sebarang perubahan kepimpinan negara,” katanya.

Muhammad Faisal berkata, penentuan menerusi sidang Parlimen ini adalah penting untuk memastikan penubuhan sebarang kerajaan baharu dilihat lebih telus dan demokratik apabila ia diputuskan dalam platform yang dimandatkan oleh rakyat.

Penentuan ini juga penting bagi menjarakkan Istana dari pergelutan politik ekoran dari permainan pihak yang tidak bertanggungjawab. [sinar harian]

 

(Eko Priyanto)